Pages

3/24/2016

Cerita Seram: Sihir Voodoo .



Suasana bilik itu agak kelam dilimpahi cahaya dari beberapa batang lilin yang membentuk bulatan. Di tengah tengah bulatan itu pula, kelihatan seseorang sedang duduk bersila. Rambutnya yang panjang mengurai, menutupi sebahagian muka. 

Dari mulutnya, terdengar butir butir jampi serapah dari bahasa yang tidak difahami. Di hadapannya, kelihatan satu mangkuk air, bekas kemenyan, gumpalan jerami, beberapa biji limau nipis dan beberapa batang jarum.

Gumpalan jerami diambil. Dan dia mula memintal dengan penuh hati hati. Sambil memintal, mulutnya masih tidak henti berjampi serapah. Tangannya begitu lincah memintal, melilit jerami itu seperti membentuk anak patung. Dia tergelak gelak apabila membelek anak patung jerami yang sudah siap dipintal pintalnya.

Sebiji limau dibelah dua dan diperah ke dalam mangkuk berisi air. Kemudian, anak patung jerami itu diperasapkan dengan kemenyan. Matanya yang liar silih berganti merenung anak patung jerami dan air di dalam mangkuk. Sekilas kelihatan bayangan seseorang di dalam mangkuk. Ditangan kirinya, tergenggam anak patung jerami. Manakala, tangan kanannya memegang sebatang jarum dan tersengih penuh erti. Dia menusukkan jarum tersebut ke kepala anak patung itu sekuat hati.



**********************************************************************************

“MAKKKK!”

Jeritan kuat itu mengejutkan seisi rumah. Hajah Fatimah orang yang pertama  meluru masuk ke dalam bilik hujung ruang tamu.

“Ya ALLAH! Kenapa ni Syad??” Hajah Fatimah tersentap melihat  anak bujangnya, Irsyad yang berusia 26 tahun terguling guling diatas katil sambil memegang kepalanya.

“Tolong mak! kepala Syad terasa sakit sangat ini!” Irsyad menjerit kuat, menelingkupkan tubuh dengan tangan tidak lepas memegang kepala. 

Hajah Fatimah panik. Belum sempat dia memanggil, Haji Rauf muncul bersama anak-anak mereka yang lain. Seperti Hajah Fatimah,mereka terkejut melihat Irsyad terguling guling menahan kesakitan.

“Aduh!!!!!!” kali ini dia memegang dadanya. Kesakitan itu tidak terperi lagi. Terasa ada sesuatu yang halus dan tajam menusuk kedalam dadanya. Mukanya sudah merah padam sehingga timbul urat-urat hijau tandanya dia sedang berlawan dengan kesakitan yang bukan kepalang.

Haji Rauf segera mendapatkan anak bongsunya itu. dia memegang kepala Irsyad. Terasa panas berapi. Perlahan-lahan dia beristighfar. Ayatul Kursi dibaca berulang kali. Tubuh Irsyad mengejang. Matanya terbeliak sebelum tertutup perlahan-lahan. Sekejap kemudian dia terkulai keletihan.

“Kenapa dengan Irsyad, Bang Aji?” Tanya Hajah Fatimah apabila melihat wajah suaminya itu keruh semacam merenung Irsyad yang sedang tertidur.

“Saya pun tak tahu, tapi naluri ni macam kata, ada orang mulakan sihir pada anak ni.”  Kata Haji Rauf sambil memeriksa denyutan nadi di pergelangan tangan Irsyad.

“Astaghfirullahalazim...!!” Hajah Fatimah menekup mulutnya. Airmatanya bergenang. Takut dan cemas mendengar telahan suaminya. Entah siapa pula yang menyihir anaknya itu. Tidak sampai setengah jam kemudian, Irsyad menjerit-jerit lagi. 

Seluruh tubuhnya terasa sakit bagai ditusuk dengan berpuluh jarum. Bisa mencucuk-cucuk. Haji Rauf berusaha menenangkan anaknya itu mengikut kepandaian yang dia tahu. Tetapi jelas, usaha Haji Rauf tidak membuahkan hasil. Sebaliknya keadaan Irsyad semakin teruk. Muncul bintik-bintik merah berdarah diseluruh tubuh Irsyad. Kesannya seperti ditusuk jarum.

“Irfan!” Haji Rauf memanggil anak lelakinya yang sulung. Irfan lantas mendekati Haji Rauf.
“Ayah mahu kamu pergi ke Mentakab, jemput Ustaz Jamal ke sini. Cepat!” Haji Rauf mengarahkan. Tanpa bertangguh lagi, Irfan segera ke Mentakab menjemput sahabat baik ayahnya itu.


***********************************************************************


Patung jerami itu sudah dipenuhi dengan berpuluh jarum. Dia ketawa terkekeh-kekeh apabila melihat bayangan seoang pemuda sedang menanggung kesakitan akibat sihirnya ala “voodoo”nya itu. Jarum-jarum yang berceracak pada patung jerami itu, tiba-tiba sahaja tenggelam perlahan-lahan ke dalam patung. Bagaimana ia tenggelam, begitulah ia menusuk masuk ke dalam tubuh mangsa.

Jarum itu akan berjalan mengikut aliran darah, menzahirkan kesakitan yang tidak terperi lagi. Sampai masanya ia akan menusuk organ-organ utama dan mengakibatkan kematian! Jampi serapah berterusan keluar dari mulutnya. Dia tidak akan berhenti menyeksa dari jauh selagi mangsanya bernafas!



****************************************************************************

Irsyad tidak mampu menjerit lagi. Hanya mengerang berpanjangan. Bintik-bintik merah berdarah semakin memenuhi badannya. Dia tidak mampu bergerak kerana merasakan ada sesuatu yang tajam sedang beredar dalam tubuhnya. Ustaz Jamal duduk bersila di hujung kepala Irsyad, kedua-dua belah tangannya dilekapkan di ubun-ubun Irsyad sambil mulutnya tidak henti membaca potongan ayat Al-Quran. 

Dia tahu, sakit yang dialami oleh Irsyad adalah akibat perbuatan sihir. Ada seseorang yang cemburukan anak bongsu teman baiknya itu. Mungkin juga Irsyad tanpa sedar telah menyinggung perasaan seseorang sehingga mengakibatkan timbulnya dendam.

Muka Irsyad berpeluh-peluh. Dia mengerang seperti meneran sesuatu. Giginya diketap kuat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terseksanya dia mengalami kesakitan berbisa itu. Ustaz Jamal terus mengusapkan ubun-ubun Irsyad.

Dengan kuasa ALLAH, tidak semena-mena berlaku kejadian aneh. Dari hujung jari tangan dan kaki Irsyad, tiba-tiba sahaja keluar berpuluh-puluh jarum peniti! Haji Rauf beristighfar panjang apabila melihat kejadian itu. Ustaz Jamal terus mengusap ubun-ubun Irsyad turun ke muka lalu diurut hingga ke kaki. Semakin banyak jarum peniti yang keluar melalui hujung kaki Irsyad. Seolah-olah ia berjalan dari dalam tubuh Irsyad mengikut urutan yang dilakukan oleh Ustaz Jamal.

Irsyad juga sudah tidak mengerang lagi. Itu tandanya kesemua jarum sihir yang dihantar ke dalam tubuh Irsyad sudah keluar semuanya. Ustaz Jamal menadah tangan membaca doa dan memanjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi. Ustaz Jamal berpaling kearah Haji Rauf.

“Anak teruna anta bernasib baik, ya Tuan Haji. Jarum sihir itu belum sempat masuk ke dalam hati dan jantungnya.”

“Syukurlah! Tadi ana tidak sedap hati bila melihat anak ana sakit tiba-tiba. Kerana tu ana mintak Irfan memanggil anta membantu ana di sini.” Haji Rauf memeluk Ustaz Jamal.

“Tidak apa-apa. Mudah-mudahan Irsyad dijauhi dari gangguan sihir, biar ALLAH sahaja yang memberi balasan kepada pemuja voodoo itu.”

Haji Rauf terangguk-angguk mendengar kata-kata Ustaz Jamal. Dia sendiri tidak ingin tahu siapakah manusia yang bertanggung jawab menyihir anaknya. Lambat-laun balasan Tuhan pasti tiba kepada si pemuja.


*******************************************************************************



Dia mengerang kesakitan. Berpuluh-puluh jarum peniti muncul pada tubuhnya. Malah ada yang sudah terbenam ke dalam urat sarafnya. Mengalir bersama darah. Sihirnya sudah tidak ampuh lagi. Jampi serapahnya sudah tidak lagi menjadi. Dia sedar nyawanya di hujung tanduk. Sepertimana lilin-lilin yang mengelilingi hampir padam, begitulah nyawanya....



p/s: all credit to Magazine APO?

No comments:

Post a Comment