Pages

11/09/2015

Cerita Seram: Detik Jam 12 Malam



Kes bunuh diri itu berlaku lagi. Di lokasi yang sama, detik yang sama seperti kes-kes sebelumnya. Seorang lelaki, salah seorang kakitangan bangunan pejabat setinggi sepuluh tingkat itu didapati telah naik ke bumbung bangunan pada sebelah malam ketika sedang stayback di ofis. Esoknya ditemui mati terhempas ke jalan raya. Kepalanya berkecai seperti buah tembikai!


Setelah disiasat, polis mendapati waktu kematiannya adalah jam 12 malam. Tetapi tidak diketahui kenapa dia berada di atas bumbung bangunan pada waktu tengah malam begitu. Hanya satu spekulasi yang dapat dibuat, dia mengalami tekanan perasaan. Mungkin dek bebanan kerja.  Walaupun ia agak tidak kukuh bunyinya.

"Aku tak percaya semua mangsa tu mati bunuh diri!" Tiba-tiba Amirul membuat ulasan setelah seisi ofis sibuk membincangkan tentang kes ngeri itu.

"Eh? Kenapa pulak kau cakap macam tu?" Samrin bertanya kehairanan. Amirul itu sentiasa ada telahan sendiri apabila membuat kesimpulan tentang satu-satu kejadian.

"Yelah, semua yang mati tu ketika hidupnya tak nampak pun macam orang sakit jiwa. Ni mesti penunggu bangunan ni buat hal." Tegas Amirul.

Samrin dan Hamsani terkejut. Mereka berpandangan sesama sendiri. Dari mana pulak Amirul dapat cerita mengarut macam tu?

"Korang jangan pandang aku pelik macam tuh. Apa yang aku cakap ni betul. Aku dengar cerita ni dah lama. Orang kata bangunan ini berhantu." Semakinlah Samrin dan Hamsani ternganga mendengarnya. Kemudian sama-sama memandang Amirul dengan muka berkerut.

"Macam mana pulak boleh timbul cerita bangunan ni berhantu? Sepanjang aku kerja dan stayback kat sini, tak pernah pulak aku kena ganggu..." Samrin cuba menyangkal.

"Hantu tu pilih orang tertentu saja kut?" sampuk Hamsani cuba bergurau.

Amirul mula berasa tidak senang melihat tingkah dua rakannya. Nampaknya mereka berdua tidak mempercayai ceritanya. Biarlah mereka! Amirul segera berlalu tidak mahu mempedulikan mereka lagi.



***********************************************************************************************************


Sedar tidak sedar, waktu pejabat sudah habis berlalu. Para pekerja di bangunan pejabat itu semakin berkurangan. Tetapi Amirul masih tetap di meja kerjanya. Tekun menyiapkan laporan yang diminta oleh ketua jabatannya. Oleh kerana laporan itu diminta diletakkan di atas meja ketua jabatan pukul 9.00 pagi esok, Amirul mengambil keputusan untuk stayback.

Sehingga jam 10.00 malam, Amirul masih lagi di mejanya. Namun sekejap kemudian, ketekunannya terganggu apabila merasakan kedinginan yang amat sangat. Amirul menggigil kerana terlalu sejuk. Sambil menyarungkan jaket ke tubuhnya, Amirul berjalan menuju ke suis aircond yang terletak berhampiran dengan pintu masuk pejabat.

Baru sahaja tangan Amirul mahu menyentuh suis, telinganya mendengar bunyi bergema dari atas siling. Amirul mendongak sambil mengamati bunyi itu. Sekejap kemudian ia hilang.

"Agaknya aircond ni dah rosak..." bisik hati Amirul. Selepas menaikkan suhu aircond, Amirul kembali ke mejanya untuk menyambung kerja. Baru sahaja dia melabuhkan punggung, tiba-tiba terdengar bunyi orang berjalan jauh di belakangnya. Amirul berpaling. Tiada sesiapa. Amirul kembali tekun dengan kerjanya.

Beberapa ketika kemudian, Amirul tersandar. Matanya sudah terasa pedih kerana menghadap skrin komputer terlalu lama. Lalu mengalihkan pandangan ke luar dinding cermin, memerhatikan bangunan-bangunan yang bercahaya di luar sana.

Tiba-tiba Amirul tersentap apabila terlihat bayangan seorang perempuan di dalam cermin. Sepantas kilat Amirul berpaling. Kelihatan seorang perempuan berdiri tegak tidak jauh dari belakannya. Amirul kaget.

"Cik! Cari siapa kat sini?" tanya Amirul kehairanan kerana dia tidak mengenali perempuan itu.

"Tolong saya!" ucap perempuan itu dengan dahi berkerut-kerut. Amirul semakin berasa hairan.

"Kenapa dengan cik ni?" 

"Saya takut! Saya tengah buat kerja dekat ofis saya. Tiba-tiba ada benda ganggu. Sebab tu saya turun, manalah tahu kalau-kalau ada orang lain yang stayback kat bangunan ni," beritahu perempuan itu dengan muka yang pucat. Mungkin benar kerana dia benar-benar ketakutan.

Amirul mengangguk tanda faham. "Itulah.... Cik tu orang perempuan. Tak sepatutnya cik stayback seorang diri kat ofis. Bahaya. Lagipun, takkanlah cik tak dengar kisah-kisah hantu kat sini...."

Perempuan itu terdiam memandang Amirul sebelum tunduk sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Marilah saya temankan cik naik ke ofis cik. Tingkat berapa?" Amirul menawarkan pertolongan.

"Tingkat 10." Balas perempuan itu dengan nada agak perlahan dan masih tertunduk memandang lantai.

Mereka berjalan beriringan menuju ke lif. Perempuan itu diam. Amirul juga ikut diam. Tidak tahu apa yang mahu dibicarakan dengan perempuan yang tidak dikenalinya itu. Perempuan itu berganjak ke belakang Amirul. Amirul membiarkan sahaja. Berpendapat perempuan itu segan dengannya."

"Dah sampai cik...." kata Amirul sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat sepuluh. Tapi tiada sahutan. Amirul berpaling.

Darahnya menyirap dan muka pucat lesi serta merta. Tiada sesiapa pun di belakangnya! Amirul panik. Mana perginya perempuan tadi?! Dalam keadaan keliru dan panik itu, tiba-tiba Amirul terdengar bunyi bergema. Perlahan-lahan Amirul berpaling ke luar lif. Nun di jauh hujung lorong kelihatan lembaga seorang perempuan berjalan perlahan-lahan menuju ke arah lif. Lebih mengejutkan Amirul, kaki perempuan berkenaan tidak jejak ke lantai!

Amirul mula dilanda ketakutan. Tangannya menggigil menekan butang 'G'. Dia tidak mahu kembali lagi ke pejabatnya. Sebaliknya mahu terus keluar dari bangunan ini. Tetapi pintu lif tertutup dengan begitu perlahan sekali. Sehinggalah perempuan itu hampir sekaki. Barulah lif tertutup rapat. Amirul tersandar kelegaan.

Namun begitu dia dilanda kejutan kuat apabila wajah pucat perempuan tadi, terpacul di muka pintu lif. Sepantas kilat Amirul menekan kembali butang untuk menutup pintu. Aneh, walaupun Amirnul tidak menekan butang tingkat, tiba-tiba sahaja butang nombor 10 menyala sendiri.

Tidak semena-mena, Amirul mendengar rengusan nafas di belakannya. Perlahan-lahan Amirul berpaling. Perempuan tadi muncul kembali di belakang Amirul! Tetapi wajahnya teramat pucat. Amirul terpekik terlolong sambil menepuk-nepuk pintu lif. Dia mahu keluar dari situ.

Pintu terbuka tetapi masih di tingkat terakhir menuju ke bumbung bangunan. Amirul tidak mahu menunggu lagi. Lalu dia segera berlari keluar kerana lembaga perempuan itu mengekorinya.

Sampai di bumbung, Amirul menemui jalan buntu. Dia tidak tahu ke mana lagi mahu melarikan diri.

"Siapa kau?!" pekik Amirul sambil memandang takut-takut ke arah lembaga perempuan itu menyengir.

"Akulah hantu bangunan ini! Hehehehe!" Serentak dengan itu, lembaga perempuan tersebut melayang laju ke arah Amirul. Tanpa dapat mengelak, tubuh Amirul tertolak ke belakang. Dia hilang imbangan. Terus melayang jatuh ke bawah.

Buk! Kepala Amirul terhempas dahulu lalu berkecai! Lembaga perempuan itu terawang-awang di atas tubuh Amirul yang sudah kaku sebelum lesap ditiup angin.

Esoknya, bangunan itu kecoh lagi dengan kes bunuh diri tanpa mereka tahu, Amirul dan mangsa-mangsa lain terbunuh pleh lembaga yang menghantui bangunan itu tepat detik 12 malam!

No comments:

Post a Comment